Balik Kampung

Kamil melihat jamnya. Sudah pukul 5.10 petang. Kamil harus berada di kampung halamannya di Kampung Kebun, Teluk Intan untuk berbuka puasa bersama keluarga tersayang. Terbayang di minda Kamil betapa seronoknya berbuka puasa bersama keluarga yang sudah lama tidak ketemu. Makan masakan emak yang enak sekali. Bertemu dengan ayah yang dirindui. Bertanya khabar adik-beradik yang masing-masing membawa haluan sendiri. Ya, peluang cuti di hari raya begini sahajalah yang dapat mengumpulkan semua ahli keluarganya.

Kalau laluan yang biasa dilalui, Kamil menjangkakan lagi sejam sampailah ke destinasi. Namun apa yang Kamil risaukan ialah laluan yang selalu dilalui itu berlopak-lopak. Walaupun jalan itu tak banyak persimpangan, tapi lopak-lopak yang selalu bertakung air itu sangat menjengkelkannya. Jalan kampung. Selalunya apabila balik kampung melalui jalan tersebut, kereta Mini Cooper kesayangannya itu akan kotor dan harus dihantar ke car wash. Justeru pada kali ini, Kamil merancang untuk mengikut jalan lain. Jalan lain ini jauh sedikit tapi jalannya baru dan lebar. Jadi tak perlulah Kamil khuatir keretanya nanti akan kotor. Walaupun ini kali pertama akan melalui jalan baru itu, Kamil pasti dia tidak akan tersesat kerana malam tadi dia telah meneliti Google Earth dengan tekun sekali. Persimpangan melalui jalan baru itu agak banyak, namun Kamil yakin dengan kemampuannya menghafal laluan tersebut, pasti tidak akan sesat. Janji kereta aku tak kotor, getus Kamil sendiri.

Sudah pukul 7 malam, Kamil masih mencari persimpangan yang harus dilalui. Sebab tidak biasa dengan jalan baru tersebut, Kamil telah beberapa kali u-turn untuk mencari persimpangan yang betul. Hari semakin gelap. Kamil memandu dengan lebih laju, dengan hati yang tidak tenteram.

“Dan inilah jalan Tuhanmu; (jalan) yang lurus. Sesungguhnya, Kami telah menjelaskan ayat-ayat (Kami) kepada orang-orang yang mengambil pelajaran”. (al-An’am : 126)