Frequently Asked Questions

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Forum Pimpinan Ipis dan Pimpinan Pelajar pada 2009

Assalamualaikum wbt kepada pembaca-pembaca sekalian.

Pertamanya, saya mewakili pihak pimpinan IPIS memohon maaf diatas blog ini yang sudah lama tidak dikemaskini.
Untuk kali ini, saya ingin menjawab beberapa persoalan yang sering diajukan oleh pelajar dan bekas pelajar berkaitan Ipis.

#Seandainya terdapat sebarang tambahan maklumat, berkaitan hal ini boleh diemelkan pada ipiseratas@gmail.com

_________________________________________________

  1. Apakah itu i-PIS? I-PIS adalah sebuah pertubuhan yang diasaskan untuk menyatukan belia yang beragama Islam yang terdiri daripada bekas pelajar SERATAS serta warga SERATAS itu sendiri di dalam satu platform bagi meningkatkan penglibatan ahli-ahlinya dalam aktiviti-aktiviti yang bersifat keislaman, dakwah dan kerohanian disamping melaksakan aktiviti yang dapat membina peribadi, meningkatkan kesetianegaraan dan mewujudkan kesedaran terhadap perlunya menjauhi unsur dan nilai negatif dikalangan ahli-ahli.Pertubuhan Pelajar Islam SERATAS (iPIS) ditubuhkan sebagai satu wacana serta wadah ilmiah bagi memberi kesinambungan kepada usaha-usaha dakwah yang telah dijalankan sekian lama di alma mater, SERATAS. Atas kesedaran bahawa betapa perlunya kepada tuntutan dan kepentingan berorganisasi, justeru iPIS menawarkan satu alternatif bagi menyatukan semua bekas pelajar SERATAS dan pelajar SERATAS sendiri merentasi batasan batch di dalam satu ikatan ukhwah yang ingin memberi bakti dan sumbangan secara sukarela melalui perlaksanaan yang tersusun.
  2. Kita dah ada Mekar, Alumni Seratas dan Ipis? Perlu ke sampai 3 badan alumni untuk satu sekolah?  Ipis bukan alumni. Ia adalah sebuah pertubuhan yang didaftarkan dibawah pertubuhan belia ROY (Registrar of Youth Societies) dimana keahliannya terbuka kepada mana-mana bekas pelajar dan pelajar Seratas yang berusia 15-40 tahun (berdasarkan perlembagaan Ipis). Walaubagaimanapun, itu sekadar diatas kertas hitam putih sahaja. Pada hakikatnya, iPIS tetap memerlukan tenaga lama yang berpengalaman (40-an keatas) dari batch yang awal untuk memberi buah fikiran yang bernas, nasihat dalam berpersatuan atau mahupun menjadi ahli Lembaga Penasihat iPIS itu sendiri.
  3. Bila iPIS ditubuhkan? iPIS ditubuhkan pada 2006-secara tidak rasmi oleh batch 21. Pada 2009, telah diadakan satu mesyuarat untuk menubuhkan sebuah pertubuhan yang rasmi. Pada 2011, iPIS telah  didaftarkan di bawah ROY(Registrar of Youth Societies) Kementerian Belia dan Sukan. IPIS telah berdaftar sebagai pertubuhan belia di bawah Seksyen 10 Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 dengan no. pendaftarannya PPBM 7194/11.
  4. Apakah aktiviti yang telah dilaksanakan iPIS sepanjang penubuhannya? Sepanjang 9 tahun penubuhan, Ipis telah melaksanakan beberapa program. Antaranya ialah : i. Kem Motivasi Pelajar 2009 ii. Kajian Latar Suasana Seratas (KILAS 2010) iii. Kem Pengenalan Tarbiyah Islamiah 2011 iv. Simposium Nuqaba 2011 v. Lawatan Ukhuwah mengikut batch pada 2007 (batch 21) dan 2012(batch 26).
  5. Apakah hubungan iPIS dengan badan alumni seratas yang lain? Secara dasarnya, kita saling menyokong dalam perlaksanakan program yang membawa manfaat. Pada tahun 2009, iaitu tahun penubuhannya secara rasmi, iPIS telah mendapat sokongan daripada Mekar dan Alumni Seratas. Beberapa program pernah diatur untuk merapatkan hubungan silaturrahim sesama pertubuhan. Namun dibatalkan pada saat akhir, diatas kesibukkan urusan masing-masing. Antaranya : i. Tahun 2010, Perancangan untuk Family Day iPIS & Mekar ii. Tahun 2011, Perancangan untuk program Ramadhan ‘Iftar Jama’i Alumni SERATAS.
  6. Bagaimana untuk mendapatkan update tentang program Ipis? Anda boleh mendapatkan update mengenai aktiviti terkini Ipis dengan beberapa cara seperti follow akaun Ipis Seratas di twitter, page Ikatan Pelajar Islam Seratas Ipis di Facebook, atau dengan menyertai group Facebook IPISeratas.

Rasulullah s.a.w. dan Kaum Ansar

Dalam peperangan Hunain, ketika berlakunya upacara membahagikan ghanimah (harta rampasan peperangan), Rasulullah saw telah berkenan untuk menyerahkan ghanimah kepada orang Quraisy yang baru memeluk Islam.

Tindakan ini telah menyebabkan kaum Ansar kurang senang dan ada antara mereka mengatakan; “semoga Allah mengampuni Rasul-Nya, dia memberi Quraisy dan membiarkan kita padahal pedang-pedang kita masih meneteskan darah mereka”

Rasulullah saw mendengar berita tersebut dan baginda mengumpul kaum Ansar dan bersabda;

“ Hai kaum Ansar, aku telah mendengar perkataan kamu! Bukankah ketika aku datang kamu masih dalam keadaan sesat kemudian Allah memberikan hidayah kepada kamu dengan perantaraan aku? Bukankah ketika itu kamu saling bermusuhan kemudian Allah menyatukan hati kamu dengan perantaraan aku? Bukankah ketika itu kamu masih hidup menderita kemudian Allah mencukupkan kamu dengan perantaraan aku?”

Setiap kali Rasulullah saw bertanya, mereka menjawab,” Benar! Sesungguhnya Allah dan RasulNya lebih pemurah dan utama”.

Selanjutnya Rasulullah saw bertanya,: “Hai kaum Ansar, mengapa kamu tidak menjawab?”

Mereka berkata, ” Apa yang hendak kami katakan wahai Rasulullah? Dan bagaimana kami harus menjawab? Kemuliaan bagi Allah dan RasulNya”.

Rasulullah saw melanjutkan. ” Demi Allah, jika kamu mahu, tentu kamu mengatakan yang sebenarnya; “ Anda datang kepada kami sebagai orang yang didustakan kemudian kami benarkan. Anda datang sebagai orang yang dihinakan kemudian kami bela. Anda datang sebagai sebagai seorang yang menderita kemudian kami santuni”

Kaum Ansar menyambut dengan hiba; ” Kemuliaan itu bagi Allah dan RasulNya!”

Rasulullah saw meneruskan, ” Hai kaum Ansar, apakah kalian jengkel kerana tidak menerima sejemput sampah dunia yang tiada nilainya? Dengan “sampah” itu aku hendak menjinakkan suatu kaum yang baru sahaja memeluk Islam sedangkan kamu semua telah lama Islam. Hai kaum Ansar, apakah kamu tidak puas melihat orang membawa pulang kambing dan unta sedangkan kamu pulang membawa Rasulullah saw? Demi Allah, apa yang kamu bawa pulang adalah lebih baik dari apa yang mereka bawa. Demi Allah yang nyawa Muhammad ditanganNya, kalau bukan kerana hijrah ini nescaya aku menjadi salah seorang Ansar. Seandainya orang lain berjalan di lereng gunung dan kaum Ansar juga berjalan di lereng gunung yang lain, aku pasti turut berjalan di lereng gunung ditempuhi kaum Ansar. Sesungguhnya kamu akan menghadapi penindasan sepeninggalanku maka bersabarlah hingga kalian berjumpa denganku di telaga (syurga). Ya Allah, limpahkanlah rahmat-Mu kepada kaum Ansar, kepada anak-anak kaum Ansar, kepada cucu kaum Ansar”.

Mendengar ucapan Nabi saw itu, kaum Ansar menangis hingga janggut mereka basah kerana air mata. Mereka kemudian menjawab “Kami rela mendapatkan Allah dan RasulNya sebagai pembahagian dan jatah kami”.

Wikifiqh

*Cerpen oleh Faisal Tehrani yang tersiar dalam Mingguan Malaysia (sebuah akhbar untuk bacaan umum) pada hari ini (9 Januari 2011). Ditampal di sini untuk kemudahan pembaca. Hakcipta terpelihara.

KAMI akan menceritakan kepada kalian satu persatu. Kata Saidina Abu Bakar, ‘Pada setiap buku terdapat rahsia, dan pada tiap-tiap rahsia itu ada dalam al-Quran dan ia terkandung pada huruf-huruf pembukaan setiap surah.’

Kami akan menceritakan. Supaya kalian dapat pengajaran. Pada suatu malam yang gelita Tuan Presiden didatangi seorang lelaki yang tampak sungguh berwibawa. Ia mengenakan jubah putih santan, dengan serban hitam yang gelap ibarat malam tanpa bintang, di tengkuknya terlilit kain hijau daun pisang. Janggut lelaki tersebut lebat tetapi rapi. Matanya bening berkaca-kaca, menambah mendung pada wajah. Di tangan kanannya memegang al-Quran. Lelaki misteri itu menjelma dalam mimpi Tuan Presiden sambil memesan, “Himpunkan ilmu-ilmu yang ada di dalam kitab suci al-Quran untuk tatapan.”

Maka Tuan Presiden pun memanggil sekian ramai bijak pandai, ilmuwan, ahli falsafah, ulama, sarjana, ahli akademik dan pujangga untuk melancarkan sebuah projek yang ia namai: Wikifiqh.

Dalam sidang akhbarnya selepas penubuhan Majlis Penggubalan Wikifiqh tersebut, Tuan Presiden memberitahu, “Kita hidup tidak lama. Kita perlu mewariskan sesuatu yang mega untuk generasi hadapan.”

Projek Wikifiqh itu mendapat sambutan seantero dunia. Sungguh ramai ulama dari dunia Islam datang mencebur diri. Mufti al Azhar dan alim Universiti Madinah turut serta. Seluruh sarjana empat mazhab bergotong royong menjayakannya. Dana yang tiba juga mencurah melimpah sehingga setiap ahli Majlis Penggubalan Wikifiqh tersebut kekenyangan. Wikifiqh akan menjadi jawapan buat segala soalan. Sembilan puluh sembilan hari kemudian, Wikifiqh siap. Menanti dirasmikan.

Sekali lagi lelaki yang tampak sungguh berwibawa tampil dalam tidur Tuan Presiden. Kali ini ia mengenakan jubah hitam bukat, dengan serban hitam yang gelap arang, di tengkuknya terlilit kain merah warna darah. Janggut lelaki tersebut lebat dan kerusut. Matanya memerah saga menonjolkan kedukaan pada wajahnya yang berlumur debu. Di tangan kanannya memegang al-Quran. Lelaki misteri itu bersuara, ‘Masih ada yang belum lengkap. Perhatikan pada Kaf, Ha, Ya, Ain, Shad di awal surah Maryam.’

Tuan Presiden tidak berani melancarkan projek ilmu Wikifiqh tersebut. Selagi ia tidak menemukan rahsia sebenar Kaf, Ha, Ya, Ain, Shad. Akan tetapi Pengarah Pilihan Raya Parti percaya Tuan Presiden mesti membuka laman tersebut kepada khalayak, kepada rakyat, kepada seluruh dunia. Menurut Pengarah Pilihan Raya, “Sudah tiba masanya dunia mengetahui kebenaran Islam. Bukankah Tuan Presiden mahu membantu barat menghapuskan Islamofobia?”

Tuan Presiden enggan. Akan tetapi Pengarah Pilihan Raya berjaya meyakinkan Tuan Presiden bahawa di tengah-tengah kancah inflasi, kenaikan harga barang, tiada lagi pemberian subsidi, dan kemelut siasah; hanya Wikifiqh sahaja yang akan menjamin Tuan Presiden menang pilihan raya dan terus memerintah. Projek Wikifiqh adalah mercu tanda pemerintahan Tuan Presiden.

Ensiklopedia

Maka demikianlah Wikifiqh dilancarkan. Pada ensiklopedia tersebut rahsia Kaf, Ha, Ya, Ain, Shad dijelaskan sebagai “huruf-huruf Muqaththa’ah”. Adalah huruf muqaththa’ah tidak diucap sebagai bunyi huruf yang disyakali. Huruf muqaththa’ah dibaca dengan huruf yang merangkai. Ini kerana ia datang dalam bentuk huruf hijaiyah seperti alif, lam, mîm, shad, ra’, kaf, ha’, ya’, ain, tha’, sin, ha’, qaf dan nûn dan jumlahnya empat belas yang bererti separuh dari seluruh huruf hijaiyah. Pada bahagian Wikifiqh di awal surah Maryam itu dihuraikan; bahawa huruf muqaththa’ah adalah potongan ayat yang termasuk dalam ayat mutasyabih yakni tidak ada seorang pun mengetahui ertinya. Huruf muqaththa’ah hadir dalam beberapa bentuk dan di banyak tempat pada al-Quran.

Mengapa lelaki misteri itu mesti menekankan lima huruf yang terdapat pada surah Maryam itu? Mengapa misalnya tidak disebutkan pada surah Shad, Qaf, dan al-Qalam. Kenapa tidak dipersoalkan huruf-huruf pembukaan pada surah-surah hawamim iaitu surah-surah yang dimulai dengan huruf ha’ dan man iaitu pada surah Ghafir, Fushshilat, Al-Syura, Al-Zukhraf, Al-Dukhan, Al-Jatsiyah, dan Al-Ahqaf? Atau mungkin sahaja huruf Muqaththa’ah pada Al-Baqarah, Ali Imran, Al-‘Ankabut, Al-Rum, Luqman, dan Al-Sajadah. Atau pada awal surah Al-A’raf dan surah Al-Ra’d.

Tuan Presiden mendapati lima huruf pada surah Maryam itu muncul pada surah yang menyinggung persoalan penganut agama Kristian. Adakah Kaf, Ha, Ya, Ain, Shad dapat menjadi formula penyelesaian pertembungan peradaban barat iaitu Kristian dan dunia Islam? Tuan Presiden pun mengambil masa satu malam menekuni perenggan Wikifiqh pada surah Maryam tersebut. Ia mendapati semua ahli tafsir menyerah kalah pada rahsia huruf-huruf muqaththa’ah itu. Misalnya kata Ibnu Qutaibah, tidak ada seorang juapun yang mengetahui takwilnya melainkan Allah. Ibnu Katsir mencuba-cuba menafsir, dengan mengatakan huruf-huruf tersebut merupakan nama-nama Allah. Misalnya alif lâm mîm itu bererti ana Allah a’lam (Aku Allah lebih Maha Mengetahui); alif lâm mîm râ yang bererti ana Allah a’lam wa ara (Aku Allah lebih Maha Mengetahui dan Melihat). Akhirnya, setelah sekian himpunan ahli tafsir itu dibaca, Tuan Presiden Wikifiqh merumuskan: Tiada siapa yang memahami Kaf, Ha, Ya, Ain, Shad. Allah yang lebih tahu apa erti huruf-huruf itu.

Suatu malam, lelaki berwibawa kembali tika tidurnya. Ia masih mengenakan jubah hitam, serban hitam seraya melilit kain merah di leher. Lelaki itu bersuara, “Mahukah kau aku dedahkan rahsia di sebalik Kaf, Ha, Ya, Ain, Shad di awal surah Maryam.”

Tuan Presiden yang kelu lidahnya cuma berupaya mengangguk.

Lelaki berjambang lebat hebat itu bertanya lagi, “Sebagai muslim apakah sumber rujukanmu?”

Tuan Presiden menjawab yakin, “Al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.”

Lelaki tersebut masih mengasak, “Setelah ketiadaan Rasulullah SAW siapakah yang dapat menafsirkan al-Quran?”

Tuan Presiden terdiam. Kemudian ia menjawab ragu-ragu, “Para ulama. Mereka pewaris Nabi.”

Lelaki tersebut menggeleng. “Sedangkan Kaf, Ha, Ya, Ain, Shad pun mereka gagal menafsirkannya. Pernahkah engkau membaca hadis sahih tentang Saidina Ali, selaku pintu ilmu? Dari Ibnu Abbas yang berkata Rasulullah SAW bersabda ‘Aku adalah kota ilmu dan Ali adalah pintunya dan siapa yang hendak memasuki kota itu hendaklah melalui pintunya.’ Nah tahukah engkau apa kata Saidina Ali tentang mereka yang mencuba-cuba menafsir al-Quran?”

Tuan Presiden tidak menyahut.

Kata Saidina Ali, al Mushaf bayna daftay al-kitab la yanthiq, wa innama yantihiqu bihi al-rijal. Iaitu al-Quran itu bisu, ia diberi suara oleh penafsir.

“Jika begitu, jawapanku tadi benar?” Tuan Presiden memberanikan diri berhujah.

“Jawapanmu salah. Kerana itulah al-Quran ditafsir sesuka hati di zamanmu. Kerana itulah kerajaan pimpinanmu tidak dapat mengunggul. Kata engkau tadi, sumber ilmu umat Islam ialah al-Quran dan hadis. Saat aku bertanyakan siapakah yang dapat menafsir al-Quran sesudah ketiadaan Rasulullah SAW engkau tiada dapat menjawab. Ketahuilah al-Quran itu melekat bersama ahlul bait. Daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa Nabi saw telah bersabda pada Haji Wida’: “Wahai manusia aku seakan dipanggil (oleh Allah) dan saatnya telah semakin hampir untukku menjawab panggilan, aku tinggalkan kepada kalian dua perkara berat (tsaqalain): Kitab Allah dan itrahku, Ahlul Bait. Sesungguhnya Allah Yang Maha Mengetahui telah memberitahu kepadaku bahawa kedua-duanya tidak akan berpisah sehinggalah menemuiku di telaga. Maka perhatikan apa yang kalian lakukan kepada mereka selepas peninggalanku.’ Adakah engkau membuka pintu hatimu?”

Tukang sapu

Tuan Presiden tidak berkelip.

“Yang berhak menafsir al-Quran ialah ahlul bait sesudah ketiadaan Rasulullah SAW. Bukan yang lain. Merekalah yang mengetahui tiap rahsia al-Quran. Mereka pintu ilmu Jika engkau ingin mengetahui rahsia Kaf, Ha, Ya, Ain, Shad, esok siang engkau tanyakan kepada tukang sapu sampah di pejabatmu. Ia lelaki yang putih matanya kerana banyak menangis. Namanya Yaakub.” Ujar lelaki berwibawa sebelum berlalu dari mimpi Tuan Presiden.

Keesokan hari, Tuan Presiden membatalkan semua acara yang diatur pembantunya. Ia masuk ke dalam kamar kerja dan memesankan, “Carikan kita seorang tukang sapu bernama Yaakub.”

Tidak berapa lama kemudian, tukang sapu buta itu dihadirkan ke pejabat. Tuan Presiden menggeletar. Inilah lelaki yang muncul dalam mimpinya sekian lama. Cuma, cuma ia cacat penglihatan. Cuma, cuma pakaiannya compang-camping dengan tangan kanannya memegang penyapu.

“Apakah rahsia Kaf, Ha, Ya, Ain, Shad?” Soal Tuan Presiden menggigil kepala lutut.

“Ia adalah satu rahsia untuk satu kebenaran. Begini, saat Allah berfirman kepada nabinya Zakaria dari keturunan Yaakub. Bahawa Nabi Zakaria a.s. memohon Allah mengajarkan nama-nama yang dapat memadam kesedihannya ekoran ia tidak punya zuriat. Hadirlah Jibrail mengajarkan nama-nama; Muhammad, Ali, Fatimah, Hasan dan Husin. Setiap kali Zakaria menyebut-nyebut nama Muhammad, Ali, Fatimah, Hasan ia akan sentiasa berasa aman; akan tetapi saat ia menyebut nama Husin, hatinya kembali gundah gulana. Maka Zakaria pun bertanya kepada Tuhannya, ‘Apakah sebabnya hatiku ini akan berasa sebak duka dan bertangisan-tangisan tatkala nama Husin disebutkan?’ Maka Allah pun menyebutkan huruf-huruf muqaththa’ah Kaf, Ha, Ya, Ain, Shad. Adalah Kaf itu Karbala, Ha itu adalah Halakal ‘ithrah iaitu terbantainya keluarga suci Nabi SAW, ia itu Yazid, adapun Ain itu adalah ‘Athsyal Husin atau dahaganya al-Husin di Karbala sementara Shad bermaksud Shabruhu iaitu kesabarannya al-Husin. Sebaik mendengar kisah penuh yang menimpa Saidina Husin di Karbala, Nabi Zakaria a.s pun menangis dan meratap’.

‘Nabi Zakaria berdoa mengenang musibah yang dihadapi keturunannya Nabi Muhammad SAW, “Ya Allah, apakah makhluk termulia-Mu dan kekasih-Mu, puteranya akan mengalami musibah seperti itu? Apakah musibah seperti ini yang bakal menimpa mereka? Apakah Ali dan Fatimah berduka cita seperti aku ini? Ya Allah, pohonku, kurniakan kepadaku seorang putera yang membahagiakan hatiku di masa tuaku, serta jadikan dia sebagai pewaris dan penggantiku. Setelah Engkau kurniakan anak itu kepadaku, timpakan kepadaku musibah sebagaimana yang dialami oleh kekasih-Mu Muhammad sehubungan dengan puteranya Husin. Maka Allah pun menganugerahinya anak, Nabi Yahya a.s. Duhai, duhai kita pun tahu musibah Yahya disembelih Hirodus. Bahawa kepala suci Yahya diarak dan dilempar-lempar untuk memuaskan hati Herodia. Duhai, duhai petaka menimpa. Demikianlah Zakaria menanggung derita kehilangan anaknya. Demikian ia merasai pedih Nabi Muhammad SAW menanggung pembunuhan Husin di Karbala.

Bercucuranlah, teresak-esak menangis Tuan Presiden mendengar kisah tukang sapu tersebut. Barulah ia mengerti hubungan Kaf, Ha, Ya, Ain, Shad dengan inti surah Maryam tersebut. Barulah serasi huruf-huruf terpenggal, huruf-huruf muqaththa’ah Kaf, Ha, Ya, Ain, Shad tersebut dengan ayat kedua surah Maryam:

‘(Ini ialah) perihal limpahan rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad), kepada hambaNya Zakaria.’ Dan ayat-ayat seterusnya: (Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan. Ia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang-tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku – wahai Tuhanku – tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepada-Mu. Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas agama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisi-Mu seorang anak lelaki. Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub; dan jadikanlah dia – wahai Tuhanku seorang yang diredai serta disukai. (Nabi Zakaria diseru setelah dikabulkan doanya): ‘Wahai Zakaria! Sesungguhnya Kami memberikan khabar yang menggembirakanmu dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya, yang kami tidak pernah jadikan sebelum itu, seorangpun yang senama dengannya”.

Ketika itu fahamilah juga Tuan Presiden tali-temali Kaf, Ha, Ya, Ain, Shad tersebut dengan ayat 75 dan 76 surah Maryam juga, iaitu ‘Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesiapa yang berada di dalam kesesatan, maka biarlah (Allah) Ar-Rahman melanjutkan baginya satu tempoh yang tertentu, hingga apabila mereka melihat apa yang dijanjikan kepada mereka, – sama ada azab sengsara dunia ataupun azab kiamat, maka (pada saat itu) mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lebih buruk kedudukannya dan lebih lemah penyokong-penyokongnya. Dan Allah akan menambahi hidayah petunjuk bagi orang-orang yang menurut jalan petunjuk; dan amal-amal yang baik yang tetap kekal faedah-faedahnya itu, lebih baik balasan pahalanya di sisi Tuhanmu dan lebih baik kesudahannya’.

Tahulah Tuan Presiden sekarang kebenaran berada dalam rahsia yang tersembunyi. Kebenaran mesti dicari dan dibongkar dengan hati terbuka. Dan kesesatan mungkin sahaja berpanjangan untuk satu tempoh yang entah berapa lama. Sehingga ada hidayah dan petunjuk datang daripada-Nya.

Begitulah, kami sudah menceritakan kepada kalian satu persatu. Tidakkah kalian perhatikan?

Rasulullah s.a.w. dan Pengemis Yahudi Buta

Setiap hari, di sudut pasar Madinah Al-Munawarah, seorang pengemis Yahudi yang buta akan berkata kepada orang yang mendekatinya: “Wahai saudaraku jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya”. Setiap pagi Rasulullah SAW mendatanginya dengan membawa makanan, dan tanpa berkata sepatah kata pun Rasulullah SAW menyuapi makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. Rasulullah SAW melakukannya hingga menjelang Beliau SAW wafat. Setelah kewafatan Rasulullah tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu.

Suatu hari Abu Bakar r.a berkunjung ke rumah anaknya Aisyah r.a. Beliau bertanya kepada anaknya, “Anakku, adakah sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan?”, lalu Aisyah r.a menjawab pertanyaan ayahnya, “Wahai ayah, engkau adalah seorang ahli sunnah, hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayah lakukan kecuali satu sunnah saja”. “Apakah itu?”, tanya Abu Bakar r.a. “Setiap pagi Rasulullah SAW selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang berada di sana”, kata Aisyah r.a.

Keesokan harinya Abu Bakar r.a. pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Abu Bakar r.a mendatangi pengemis itu dan memberikan makanan itu kepadanya. Ketika Abu Bakar r.a. mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil berteriak, “Siapakah kamu ?”. Abu Bakar r.a menjawab, “Aku orang yang biasa”. “Bukan, engkau bukan orang yang biasa mendatangiku!”, jawab si pengemis buta itu. “Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut dengan mulutnya setelah itu ia berikan pada ku dengan mulutnya sendiri”, pengemis itu melanjutkan perkataannya.

Abu Bakar r.a. tidak dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu: “Aku memang bukan orang yang biasa datang pada mu, aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Dia adalah Muhammad Rasulullah SAW”. Setelah pengemis itu mendengar cerita Abubakar r.a., dia pun menangis dan kemudian berkata: ” Benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, ia tidak pernah memarahiku sedikitpun, ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, ia begitu mulia….”. Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadat dihadapan Abu Bakar r.a

Sudah cukup berhati-hati?

Ketika memandu di jalan yang tidak rata dan berlubang, apakah yang anda lakukan?

Ketika meredah hutan mendaki bukit ketika sedang beriadah bersama rakan-rakan, langkah bagaimana yang akan anda ambil?

Ketika sedang meredah sungai yang dasarnya dipenuhi batu-batu untuk ke seberang, berapa banyak perhatian anda pada setiap langkahanmu?

Juga, ketika melalui jalan yang penuh duri, bagaimanakah anda akan menempuhnya?

Tiada cara berjalan yang lain, melainkan berjalan secara berhati-hati agar tidak terbabas apabila tayar termasuk lubang, tidak terjatuh ketika sedang mendaki, tidak tergelincir ketika sedang menyeberang, dan tidak terluka ketika sedang melalui jalan berduri.

Ini respond manusia, respond yang dipengaruhi oleh pancaindera kita terutamanya mata yang melihat risiko-risiko yang bakal dihadapi jika tersilap melangkah. Respon yang dihantar ke otak untuk mentafsir dan mengawal pergerakan kaki agar berhati-hati dan anggota lain untuk bersedia untuk sebarang kemungkinan. Tidak dinafikan, kedua mata anugerah Allah ini cukup bernilai bagi setiap individu yang dilahirkan mampu untuk melihat.

Namun, bagaimana dengan respon iman terhadap apa yang kedua mata ini lihat di sekelilingnya?

Mari, duduk seketika bermuhasabah tentang sejauh mana mata kita ‘berhati-hati’ terhadap apa yang kita lihat.

Realiti persekitaran

Dunia, dan segala isinya hampir penuh dengan perkara yang memenuhi kehendak musuh iman. Siapakah musuh iman? Dialah AN-NAFS, yang mendiami diri manusia sejak azali, yang sukar untuk mengakui bahawa dirinya adalah hamba Allah sebelum Allah izinkannya mendiami tubuh sebaik-baik ciptaanNya, yakni manusia.

Maka kepada saudara-saudaraku yang masih mampu melihat dengan mata zahirmu, pandanglah ke sekeliling! Kemudian bermuhasabahlah. Apa masih persekitaranmu mentaati Allah? Apa masih persekitaranmu wujud suasana soleh yang mendorongmu untuk mencari redha Allah? Apa masih ada lagi saudara-saudaramu yang sama-sama mengajakmu menjaga mata pandangan daripada memandang perkara yang haram buatmu?

Astaghfirullahal azim…

Jadi bagaimana anda boleh berhati-hati dalam perkara zahir seperti lubang, duri dan batu, tetapi buta dan leka apabila berdepan dengan perkara di persekitaranmu yang turut menggunakan pancaindera yang sama?

Semuanya kerana mata lahiriah kita, tidak punya ‘sesuatu’ yang dipunyai oleh mata hati. Namun perbandingan antara keduanya, cukup untuk membuat kita berfikir sejenak. Itulah AL-IMAN, yang seharusnya mendasari setiap anggota, setiap langkah, setiap detik, setiap nafas malah setiap degupan jantung kita!

Iman mendasari mata hati

Yakin, percaya, membenarkan dan tunduk kepada Allah yang Esa dan mengikuti ajaran PesuruhNya adalah asas kepada jati diri manusia. Asas inilah yang diperlukan untuk setiap daripada kita menjadi lebih berhati-hati dalam setiap perkara yang kita lihat, kita buat dan kita pilih. Juga keyakinan inilah yang bakal menentukan respond kita terhadap perkara-perkara di sekeliling kita.

Daripada Rasulullah SAW:

Sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka dia hendaklah menegah kemungkaran itu dengan tangannya. Jika tidak mampu, hendaklah ditegah dengan lidahnya. Kemudian kalau tidak mampu juga, hendaklah ditegah dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman .

(HR Muslim)

Hakikatnya, manusialah yang memerlukan iman. Manusialah yang perlu menjaga dan memelihara imannya. Kelalaian menjaganya tidak merugikan sesiapa, tetapi merugikan diri kita sendiri juga akhirnya.

Maka saudaraku, saya ingin tanya semula kepada anda. Bagaimana respond iman anda apabila melihat dunia dan realitinya?

Jika masih ada terasa sedih dengan realiti manusia, suburkanlah rasa itu dengan usaha untuk memperingatkan mereka.

Jika terasa marah dengan tindakan manusia lain, kawal rasa itu dan ubah dengan menegur secara bijaksana.

Jika terasa bahagia dengan suasana soleh yang telah tercipta, alhamdulillah dan peliharalah ia.

Jika anda tidak punya rasa, getaran atau tidak tersentuh hati anda pada setiap yang berlaku, maka sujudlah kembali, memohon keampunan pada Allah kerana bimbang sudah kehilangan hati dan sensitiviti imannya.

Kerana secara lahiriah dan ruhaniahnya, kita seharusnya berhati-hati.

Moga Allah redha.

Balik Kampung

Kamil melihat jamnya. Sudah pukul 5.10 petang. Kamil harus berada di kampung halamannya di Kampung Kebun, Teluk Intan untuk berbuka puasa bersama keluarga tersayang. Terbayang di minda Kamil betapa seronoknya berbuka puasa bersama keluarga yang sudah lama tidak ketemu. Makan masakan emak yang enak sekali. Bertemu dengan ayah yang dirindui. Bertanya khabar adik-beradik yang masing-masing membawa haluan sendiri. Ya, peluang cuti di hari raya begini sahajalah yang dapat mengumpulkan semua ahli keluarganya.

Kalau laluan yang biasa dilalui, Kamil menjangkakan lagi sejam sampailah ke destinasi. Namun apa yang Kamil risaukan ialah laluan yang selalu dilalui itu berlopak-lopak. Walaupun jalan itu tak banyak persimpangan, tapi lopak-lopak yang selalu bertakung air itu sangat menjengkelkannya. Jalan kampung. Selalunya apabila balik kampung melalui jalan tersebut, kereta Mini Cooper kesayangannya itu akan kotor dan harus dihantar ke car wash. Justeru pada kali ini, Kamil merancang untuk mengikut jalan lain. Jalan lain ini jauh sedikit tapi jalannya baru dan lebar. Jadi tak perlulah Kamil khuatir keretanya nanti akan kotor. Walaupun ini kali pertama akan melalui jalan baru itu, Kamil pasti dia tidak akan tersesat kerana malam tadi dia telah meneliti Google Earth dengan tekun sekali. Persimpangan melalui jalan baru itu agak banyak, namun Kamil yakin dengan kemampuannya menghafal laluan tersebut, pasti tidak akan sesat. Janji kereta aku tak kotor, getus Kamil sendiri.

Sudah pukul 7 malam, Kamil masih mencari persimpangan yang harus dilalui. Sebab tidak biasa dengan jalan baru tersebut, Kamil telah beberapa kali u-turn untuk mencari persimpangan yang betul. Hari semakin gelap. Kamil memandu dengan lebih laju, dengan hati yang tidak tenteram.

“Dan inilah jalan Tuhanmu; (jalan) yang lurus. Sesungguhnya, Kami telah menjelaskan ayat-ayat (Kami) kepada orang-orang yang mengambil pelajaran”. (al-An’am : 126)

Mari Sertai Malam Jalinan Ukhwah dan Hari Keluarga

Assalamualaikum,

Kepada :

Bekas pelajar SERATAS,

Ahli IPIS & MEKAR


Program Malam Jalinan Ukhuwah & Hari Keluarga anjuran IPIS dgn Kerjasama MEKAR

Tarikh / Hari

24hb – 25hb Julai 2010 / Sabtu – Ahad


Tempat

Female Sport Complex, UIAM Gombak


Sasaran

Ahli IPIS, ahli MEKAR dan bekas pelajar SERATAS yang menuntut sekitar Lembah Klang dan yang sudah bekerja


Penganjur

Ikatan Pelajar Islam SERATAS (IPIS) dan MEKAR


Objektif Program

1.       Mengumpulkan kembali bekas pelajar SERATAS & anak-anak Perak di perantauan.

2.       Memperat silaturrahim dan membugar kasih sayang antara sahabat-sahabat bekas pelajar.

3.       Memperkenal IPIS dan MEKAR kepada bekas pelajar SERATAS.

4.       Mengeratkan hubungan antara IPIS dengan MEKAR.

5.       Merancang dan menggerakkan secara bersama agenda IPIS & MEKAR dalam mengembalikan kecemerlangan sekolah.

Untuk pendaftaran & sebarang pertanyaan, sila hubungi

sdr. Ku Syafiq (Mat) : 013-2225340



Aturcara Majlis:

24hb JULAI 2010 (Sabtu)

06.00 – 07.00 ptg : Persediaan tapak program
09.00 – 09.30 mlm : Ketibaan para tetamu
09.30 – 09.45 mlm : Alu-aluan pengerusi majlis, ucapan pengarah program
09.45 – 10.30 mlm : Ucapan wakil IPIS & wakil MEKAR
10.30 – 11.00 mlm : Sesi Taaruf / Perkenalan
11.00 – 11.45 mlm : Sesi Jamuan Makan / BBQ
12.00 mlm : Bersurai
25hb JULAI 2010 (Ahad)

07.30 – 08.00 pg : Ketibaan peserta di tapak program
08.00 – 09.30 pg : Sukaneka
09.30 – 09.45 pg : Perlawanan Futsal / bola jaring
09.45 – 11.00 pg : Ucapan wakil IPIS & wakil MEKAR
11.00 – 11.30 pg : Rehat dan jamuan
11.45 – 12.30 tghr : Majlis penutup dan penyampaian hadiah
12.30 tghr : Bersurai

Peta lokasi Ke UIA Gombak:

Peta lokasi Ke Female Sport Complex:


Kami mengalu-alukan kedatangan anda untuk turut sama memeriahkannya. Jumpa di sana!

Previous Older Entries

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.